Tuesday, January 7, 2014

Setahun menghilang


2014 telah hadir, 1435 lebih awal tiba. Setahun sudah berlalu sejak kali terakhir berkarya di sini. Masha Allah, cepat sungguh waktu berlalu. Kali ini mungkin perkongsian ringkas sahaja insyaAllah.

Situasi:
Sedang memandu ke kuliah untuk menduduki peperiksaan bersama ratusan manusiawi lain dalam kesesakan, radio IKIM dipasangkan dan tajuk perbualan merupakan "time management". 

Soal menarik yang dibangkitkan adalah: Adakah kita sebenarnya tak pandai menguruskan masa? Sebab dirasakan seolah-olah masa tak pernah cukup. Atau sebenarnya kita tiada keberkatan waktu? Sentap.

Bayangkan berapa banyak waktu dihabiskan untuk akhirat berbanding dengan dunia?

Bayangkan betapa kita menitikberatkan atau melebihkan dunia berbanding akhirat?

Macam mana nak berkat?





Lepas tu, ada lagi satu perkongsian yang lagi best lagi menusuk kalbu. Katanya, setiap kali masuk waktu, sebaiknya kita terus solat. Betul. Selalu dengar tapi jarang buat? Sentap lagi. Jika kita di tengah2 satu urusan sewaktu azan berkumandang, lalu kita tinggalkan urusan tersebut untuk menunaikan solat dan kemudian sambung semula, ia seolah-olah kita meminta izin dari Allah untuk mudahkan urusan kita tadi. Masha Allah, hebat sangat pemikiran macam tu.

So, lain kali bila dengar azan, tak kira lah anda (dan saya terutamanya) sedang buat assignment ke, masak ke, sembang dengan kawan ke, elok lah kita utamakan solat.

Tapi, kalau kita dalam meeting? Yang melibatkan orang lain, yang not yet Muslim? Maybe perlukan huraian panjang dan lebih banyak pembacaan. Tapi jika boleh mintak izin untuk solat dan tidak mengganggu proses kelancaran meeting, apa salahnya? Mungkin boleh solat waktu tea break? 

Allahu A'lam.


Thursday, January 19, 2012

Al-kisah jam

Teringat zaman sekolah dahulu, semasa saya tingkatan 2, waktu itu waktu rehat. Maka berpusu-pusu lah gadis-gadis sekolah ku menuju ke kantin. Setelah beratur membeli makanan dan berebut untuk mendapatkan tempat makan, kami pon menjamu selera. Setelah itu, kami pun melepak di tepi kolam menghabiskan waktu rehat yang berbaki.

Memandangkan sekolah saya tidak mempunyai loceng, maka semuanya bergantung kepada jam tangan untuk mengetahui sesi pertukaran subjek mahupun waktu rehat. Dan ketika itu saya memang tidak memakai jam tangan,maka setiap 5 minit saya akan bertanya kepada kawan saya, “sekarang pukul berapa”. Selama ini perkara ini saya anggap biasa sehingga lah pada hari itu, seorang kawan saya menegur. “ hang tak pakai jam tangan? Orang yang tak pakai jam tangan orang yang tak berwawasan kerana tak peka dengan masa. “

Sentap. Maka terasa lah saya seketika itu, tapi setelah difikir-fikirkan, barangkali betul jugak katanya. Saya tidak ingat bila saya istiqamah memakai jam tetapi hingga lah hari ni, saya memang sentiasa mengenakan jam tangan ketika keluar rumah.

Tidak peka dengan masa, itu antara penyakit orang kita pada hari ini. Kelas bermula jam 8 pagi, 8.15 baru sampai. Mesyuarat akan bermula pada 3 petang, 3.30 petang baru penuh kehadiran. Begitu mudah kita memandang kecil hal menepati masa. Oh lupa, contoh yang paling sinonim, asar jam 4.30 petang, 4.20 petang baru berebut-rebut ambil wudhu solat zohor.

Itu belum campur orang yang melalukan kerja secara lemah gemalai lenggang kangkung. Pergi ke pejabat pos, bank, pejabat pendaftar dan lain-lain, sesetengah daripada mereka menyiapkan kerja dengan kadar yang begitu lambat. Masa terbuang begitu sahaja dengan menunggu, menunggu dan menunggu.

Jika dikumpulkan masa yang terbuang itu hari demi hari, minggu demi minggu, maka kita akan terkejut dengan hasil jumlah nya. Pernah terfikir kenapa Jepun merupakan negara yang sangat maju? Pernah anda terfikir kemajuan negara matahari terbit itu mungkin berkait dengan sikap menepati masa yang mereka amalkan?

Saya merasakan ia amat berkait, orang-orang yang berjaya semestinya orang yang menepati masa. Pelajar yang cemerlang menepati waktu hadir ke kuliah, menepati masa menghantar assignment dan masa ulangkaji. Pekerja yang berjaya menepati dead line kerjanya, bos yang baik adalah menepati waktu membayar gaji pekerja.

Jika kita masih lagi lemah bab menepati masa, maka cuba lah baiki dari sekarang, kerana apa? Jika tidak, kita akan terbiasa dengan sikap melewati masa dan melengahkan kerja, bimbang kita akan terlepas peluang-peluang kejayaan dalam hidup berbanding orang yang menepati masa.

Latihan apakah yang boleh dipraktikkan untuk melatih diri menepati masa? Solat. Solat lah di awal waktu dan berdoa supaya kita dapat istiqamah untuk solat di awal waktu. Kenapa? Orang yang menepati waktu “temu janji” dengan tuhannya pasti mampu berbuat demikian sesame manusia. Manakala orang yang dengan tuhan pon tidak menepati masa “temu janji”, manusia apatah lagi?

Wednesday, January 4, 2012

Akhlak


Sejak 2,3 hari yang lepas, modem internet di rumah mogok untuk berehat, dah semakin kurang stamina, maklum lah sudah setahun bertambah usianya. Maka baru sahaja beberapa hari tidak melayari internet, terasa seperti ketinggalan 5 tahun ke belakang. Pelbagai berita dan cerita yang panas dan sensari sudah menjadi buah mulut orang.

Sepantas mana sesuatu berita itu tersebar, sepantas itu jugak lah dosa dan pahala mengumpul saham di bahu kiri dan kanan masing-masing. Gara-gara apa? Gara-gara menyebarkan berita yang tidak tahu asal usul, pangkal hujung dan kebenarannya. Juga gara-gara mulut dan tangan yang pecut untuk menulis dan mengkritik tidak tentu hala, menghamburkan kata-kata kesat tanpa berfikir.

Ke mana agaknya akhlak kita ya? Akhlak kini hanya tinggal dalam buku teks pendidikan sivik dan juga dan iklan di kaca tv flat screen.

Mak saya sering merungut tentang drama dan cerita yang ditayangkan di tv, ada sahaja adegan jerit menjerit, anak derhaka pada ibu bapa, isteri nusyuz pada suami, kawan makan kawan, remaja memuja artis dan sebagainya. Kata mak saya, zaman dahulu media penerbitan khususnya lebih sopan kerana tapisannya lebih ketat. Daripada skrip dan jalan cerita hingga lah penampilan para pelakon dijaga.

Pengaruh media kepada masyarakat memang ketara dan tidak perlu disangkalkan lagi. Lihat sahaja kelakuan anak-anak kecil yang meniru perwatakan kartun kegemaran mereka, manakala golongan muda pula sibuk memuja artis kesayangan mereka.

Sedih hati melihat masyarakat yang makin terhakis akhlak dan nilai murni mereka akibat penangan asid kemodenan. Perasan kah anda, sebenarnya alam ini berkait rapat dengan akhlak kita sebenarnya. Lihat sahaja berita tempatan, rata-rata banjir sana sini. Berita antarabangsa juga menyaksikan kejadian gempa bumi, rebut angin, tsunami, tanah runtuh dan sebagainya. Semua itu melambangkan kualiti akhlak kita pada zaman sekarang.

Bukan sahaja alam, tetapi keadaan sekeliling turut mencerminkan akhlak dan peribadi kita sebenarnya. Adakah bilik kita kemas atau bersepah? Bagaimana pula dengan keadaan rumah kita? Ada spesies manusia yang sangat mementingkan kebersihan biliknya @ rumahnya, tetapi di luar rumah, membuang sampah merata-rata. Baginya, yang penting bilik aku @ rumah aku bersih. Di luar? Itu bukan hal aku. Bukankah itu menunujukkan sifat pentingkan diri sendiri.

Maka, ketika melihat ke dalam cermin tiap2 hari untuk menatap muka yang disangka lawa, tatap la juga akhlak kita yang ada dalam hati. Adakah akhlak kita dijaga rapi persis wajah dan penampilan kita?

Ketahui la akhlak & khulu’ (kejadian @ rupa @ penampilan) adalah dua benda yang beriringan, khulu’ adalah di luar manakala akhlak itu dari dalam. Manusia sering memandang rupa tetapi Allah lebih mementingkan akhlak & taqwa yang berada di dalam kita. Kerana apa? Kerana bukan semua orang memiliki rupa yang cantik, tidak semua orang mampu berbelanja untuk mendapatkan penampilan yang menawan, tetapi akhlak dan taqwa itu mampu dimiliki oleh mana-mana insan yang berusaha mendapatkannya.

Bukan kah Allah seadil-adil Hakim? Allahuakbar.

Tuesday, September 6, 2011

it's the way of life lah


Sekumpulan remaja sedang rancak berbual-bual, diselang-seli dengan gelak ketawa mereka, sungguh meriah sekali suasana. Jam menunjukkan pukul 11.30 malam. Oh, berkumpul di rumah nenek rupanya. Mereka sudah lama tidak berjumpa, inilah masa untuk mengeratkan hubungan sesama sanak saudara.

Topik utama yang hangat dibincangkan - diet. Diet untuk menjaga badan, menjaga kesihatan. Macam-macam yang disembangkan. Ada yang baru hendak mengumpul semangat untuk diet, ada yang sudah separuh jalan, ada yang memang tidak perlu diet, badannya sudah cukup cantik.


Si A pun berkata : " Aku memang nak berdiet, tapi motivasi tu kurang la. Nanti x konsisten, baik jangan mulakan. "

Si B pula menyambung : " Mula-mula memang susah, tapi bila sudah lalui peringkat pertama, diri kita sudah boleh menerima diet tersebut "

Si C memberi pendapat : " Menjaga badan tidaklah susah, cuma kena betulkan tabiat kita yang salah, jangan minum ais, jangan makan fast food, kena rajin buat senaman.... "

A dan B serta yang lain-lain : " Kau memang kurus x pa laaaaaa. "


Motif cerita di atas? Sebenarnya, jika kita mahu sesuatu, ia perlu dilakukan secara kerap dan konsisten, baru lah boleh berjaya. Tidak ada ruang untuk culas dan malas. Dalam erti kata mudah, jadikan ia cara hidup kita - make it our way of life.

Contoh : kita mahu badan yang sihat & cantik. Maka perlu menjaga makanan bukan sahaja untuk tempoh tertentu tetapi untuk sepanjang hayat. Baru badan betul-betul sihat dan terjaga. Tidak percaya ? Tanya sahaja mereka yang sihat dan cantik, mesti jawapan yang acap kali diberikan : " saya memang mengamalkannya dari dulu lagi sehingga lah sekarang " Betul kan?

Sekarang, aplikasi pula dalam bab pelajaran / akademik. Kita mahu berjaya dalam pelajaran. Caranya bukan study last minute tetapi study secara konsisten setiap hari selepas kelas dan sebagainya, membuat latih tubi / latihan dengan kerap, rajin membaca sebelum dan selepas kelas. Bermakna tabiat suka menuntut ilmu itu memang perlu ada dalam diri kita. Tanamkan rasa cinta kepada ilmu dan berazam lah untuk menjadi orang yang berilmu. Baru kena gayanya untuk kita cemerlang dalam pelajaran.


Anda sudah nampak polanya? Demikian juga AGAMA. Untuk menjadi muslim yang baik, kita perlu mempratikkan agama kita dalam kehidupan seharian. Jadikan ia cara hidup kita, baru lah kita layak menjadi muslim yang betul-betul berkualiti. Tetapi bagaimana? Ramai orang faham konsepnya tetapi tidak dapat membayangkan cara melaksanakannya kerana dirasakan agama itu kompleks lagi rumit, terlalu banyak detail nya.

Jangan peningkan kepala anda, ambil yang paling asas. Rukun Islam contohnya, pasakkan rukun Islam anda. Saya mengambil solat sebagai contoh. Sebagai permulaan, anda belajar untuk menjaga solat, yakni solat di awal waktu, solat dengan khusyuk, solat berjemaah. Hasilnya? Bila anda selalu solat di awal waktu, anda akan menjadi orang yang menepati masa. Bila anda belajar untuk khusyuk dalam solat, anda akan khusyuk dalam pekerjaan anda. Bila anda sering solat berjemaah, hubungan anda dengan orang lain akan menjadi lebih baik.


Subhanallah, itu hanya sebahagian daripada bab solat, belum lagi kita menyentuh bab-bab lain. Jadi, Islam sebagai cara hidup kita tidaklah susah. Semuanya bergantung kepada sejauh mana kita kehendak kita terhadap sesuatu. Jika anda mampu untuk berdiet untuk kurus, stay up untuk exam dan assignment, anda juga mampu menjadi lebih baik untuk Islam dan diri anda. =)


Islam is my way of life, make it yours too !

Friday, September 2, 2011

cantik ?


Sejak-sejak timbul trend tudung yang berjenama, industri fesyen ala-ala muslimah melonjak naik. Tudung bermacam-macam fesyen & jenama laris seperti goreng pisang ( ke pisang goreng? ).

Tidak cukup dengan tudung, ditambah pula aksesori-aksesori yang lain supaya kelihatan lebih dan bergaya, sehingga bonggol unta pon hendak dipakai. Unta kalau nampak mesti bangga, manusia mahu meniru fesyennya.

Alhamdulillah bagi mereka yang bukan mangsa fesyen, tidak perlu sentiasa mengejar trend semata-mata mahu menjaga imej. Yang penting pakaian kita kemas & presentable. Kan?

Kadang-kadang ku lihat rakan-rakan yang sudah berubah, pakaian makin sopan, tudung juga semakin mengikut syariat. Terasa sejuk hati, ingin aku menjadi sepertinya. Tapi kan, semasa melihat kawan-kawan lain yang dress up dengan pakaian trendy, jugak nampak menarik & cantik.

Dua-dua pun cantik, kenapa ya? Yang mana harus dipilih? Cantik itu subjektif, benar. Kerana cantik itu banyak kayu ukurnya. Jika diukur menggunakan pembaris agama & iman, sudah tentu fesyen baju yang labuh & lebih sopan kelihatan cantik. Tudung yang labuh pun terasa anggun.

Sebaliknya jika menggunakan pembaris nafsu & dunia, tentu sahaja yang makin ikut "shape" atau yang makin menarik perhatian itu ditafsirkan sebagai cantik.

Kawan-kawan, hidup bukan sahaja di dunia, akhirat juga ada kehidupan. Kita mahu cantik bukan bersifat sementara, tetapi kekal selamanya. Gunalah pembaris Islam & iman untuk mengukur kecantikan. Berhias lah dengan etika pakaian yang betul, akhlak yang terpuji & peribadi yang baik.

Kadang-kala kita sedar, tapi pura-pura menafikan. Kadang-kala kita tahu, tetap pura-pura menafikan. Tapi apabila sampai ajal menjemput, ketika itu kita tidak boleh berpura-pura lagi.

Jika ada antara kita yang terasa ingin berubah untuk menjadi lebih baik, jangan nafikan fitrah kita. Usahalah untuk berubah. Ganjil? Biasalah. Islam itu bermula sebagai sesuatu yang ganjil dan akan kembali menjadi ganjil.


Sunday, August 7, 2011

Sama-sama laju



Yeah, cuti semester lagi. Hati-hati yang bergelar mahasiswa semestinya girang, masa untuk merehatkan otak setelah berhempas-pulas memerah jus untuk menjawab segala teka-teki di medan ujian.

Sekejap cuma, tempoh itu akan berlalu, dan sekali lagi semester baru menjelma dan kitaran yang sama akan berulang sehingga tiba hari yang paling dinanti-nantikan - hari graduasi. Maka bermula ekspidisi ke alam baru yang lebih mencabar iaitu alam pekerjaan.

Perkara tipikal yang berlaku pada kebanyakan insan, maka apa yang hendak disampaikan? Sedar atau tidak, atau buat-buat tak sedar, hidup kita BANYAK tertumpu kepada kejayaan dan kebahagiaan di dunia. Terlalu sedikit difokuskan untuk akhirat di sana.

Mungkin ada yang berfikir, tidak cukupkah solatku, puasaku, auratku dijaga? Kawan-kawan, jika untuk dunia kita sanggup berhempas-pulas, mengapa tidak untuk akhirat? Bukankah kita mahu senang di dunia & di akhirat? Setiap kali selepas solat mesti tidak terlepas membaca doa:

( رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ )

Maksudnya : Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia ini dan juga di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka.

Pokoknya, jika mahu kedua-duanya, maka usaha untuk kedua-duanya harus lah sama. Jangan ada yang diskriminasi! Sebagaimana anda boleh stay up untuk exam, begitu juga anda boleh stay up untuk beribadat!



Keseimbangan antara keduanya amat penting untuk menjamin kebahagiaan yang sebenar-benarnya di dunia dan di akhirat. Terlalu pentingkan dunia akan menyebabkan kita rugi di akhirat, begitu juga jika kita terlalu mementingkan akhirat sehingga mengabaikan dunia akan menyebabkan kita jauh ketinggalan di dunia. Bertepatan dengan pepatah : " Bekerjalah untuk dunia mu seolah-olah kamu akan hidup selamanya. Dan beramal lah untuk akhiratku seolah-olah kamu akan mati esok "

Andai setiap seorang daripada kita mampu untuk mengamalkan pepatah di atas, nescaya Islam akan mendapat tempat dan kemuliaan yang selayak baginya di mata dunia dengan adanya barisan umat yang begitu cemerlang dari segi duniawi & ukhrawi.

Salam Ramadhan al-Mubarak, jika di bulan ini ibadah kita kencang, maka kerja-kerja lain juga perlu sama-sama kencang. Selamat merebut peluang yang ada.



Sunday, June 12, 2011

Alat dan matlamat


Dalam segala apa yang kita lakukan, sudah tentu kita telah menetapkan sesuatu matlamat baginya. Dan sudah tentu kita akan menggunakan sesuatu cara atau alat tertentu untuk mencapai matlamat tersebut.

Jika lapar maka kita akan makan untuk mengenyangkan perut, kenyang sebagai matlamat dan makan sebagai alat. Jika badan letih maka kita untuk merehatkan badan kita akan tidur, di sini tidur menjadi alat untuk mencapai matlamat supaya badan dapat rehat.

Tapi berapa ramai dalam kalangan kita yang sering tertukar antara alat dan matlamat? Suami isteri yang sibuk berkerjaya untuk membahagiakan keluarga tetapi dalam masa yang sama tidak mencurahkan perhatian dan kasih sayang kepada keluarga.

Bukankah mengejar kemewahan itu alat untuk mencapai kebahagiaan keluarga, tetapi mengapa seolah-olah ia lebih penting daripada memberi perhatian kepada anak-anak serta suami / isteri sendiri? Ini terbukti dengan kadar statistik penceraian di Malaysia khususnya yang dikeluarkan oleh JAKIM pada tahun 2009 dengan purata satu kes cerai setiap 15 minit !

Keadaan yang sama turut diaplikasikan kepada pelajar sekolah mahupun mahasiswa universiti, bagaimana? Tujuan kita belajar adalah untuk menuntut ilmu dan salah satu kayu ukur tahap kelimuan seseorang pelajar adalah melalui peperiksaan.

Maka berapa ramai pula dari kalangan pelajar kita yang terlampau obses atau taksub dengan sistem peperiksaan sehingga sanggup melanggar adab-adab dan batas seorang penuntut ilmu dengan meniru di dalam peperiksaan. Seolah-olah mereka tidak memahami tujuan asal mereka ditempatkan di institusi pengajian.

Jangan lupa, kita mungkin juga tergolong dalam golongan tersebut, tidak percaya? Apa jua yang sedang kita lakukan sekarang, sama ada belajar atau berkerja semuanya adalah untuk mencapai kesenangan hidup di dunia.

Maka hanya segelintir dari hamba Allah yang betul-betul menjadikan dunia sebagai alat untuk meraih keseronokan dan kemenangan yang besar di akhirat. Berapa ramai daripada kita yang telah menjadikan dunia sebagai matlamat hidup? Lupakah kita?

[وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَعِبٌ وَلَهْوٌ ۖ وَلَلدَّارُ الْآخِرَةُ خَيْرٌ لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ ۗ أَفَلَا تَعْقِلُونَ ]

Maksudnya: Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? (Al-Anaam: 32)

Mungkin kita perlu berhenti sebentar dan fikir sejenak, dan cari semula apakah matlamat yang sebenarnya yang ingin kita capai supaya kita tidak terus hanyut dalam angan-angan sendiri tanpa kita sedari.