Tuesday, December 7, 2010

episod baru


Kalendar hijri menunjukkan tarikh 1 Muharram 1432 H, maka berlalu lah setahun dari episod hidup kita dan bermula lah episod baru. Rata-rata status di Facebook mengucapkan Salam Maal Hijrah, salam kembali kepada kalian. Dengan itu, tidak kurang juga yang bersemangat menanam azam baru berbekalkan semangat baru untuk menempuh tahun baru ini. Tahniah saya ucapkan kepada kalian yang masih mengingati kalendar Islam, yang masih menyayangi peristiwa Islam.

Namun, di sebalik keriangan menyambut tahun baru dan keterujaan menyenaraikan azam baru. Saya lebih selesa untuk mengimbau kembali episod-episod hidup yang telah berlalu. Tahun lepas, dua tahun lepas, 5 tahun lepas dan seterusnya. Betapa masa dirasakan begitu pantas mengalir sama ada kita sedar ataupun tidak. Seperti baru kelmarin menjejakkan kaki ke bumi anbiya ini, sekarang sudah berada di semester kedua akhir, dengan masa berbaki setengah tahun untuk terus menikmati hidup di bumi barakah ini.Subhanallah ~

Cuba berfikir sejenak, lihat kembali azam kita pada tahun-tahun yang lepas. Sudahkah kita berjaya melaksanakannya? ataupun hanya kekal tinta pada kertas sahaja? ataupun sudah dicampak entah ke mana, lalu kita pun lupa...Ada baiknya kita cuba tunaikan azam lama yang tertunggak dahulu, sebelum sibuk membuat azam baru.

Seterusnya, azam yang tersenarai itu mesti lah disusuli dengan perancangan yang rapi untuk mencapainya. Apalah gunanya jika kita mengetahui destinasi tetapi tidak tahu jalan ke sana. Sudah tentu kita akan memakan masa yang lebih dan tenaga yang extra untuk ke destinasi, barangkali juga sesat !

Percaya atau tidak kalian, " plan well is work half-done " . Dengan adanya perancangan yang rapi seolah-olah kerja anda telah siap separuh, maka yang tinggal hanya lah lagi separuh untuk dilaksanakan. Ini menunjukkan betapa pentingnya perancangan dalam menentukan kejayaan sesuatu perkara. Bagaimana untuk merancang? Apabila kita merancang kehidupan kita untuk masa setahun, 5 tahun dan sebagainya, proses merancang memakan masa yang lama. Jadi jangan terburu-buru, take your time. Kerana anda sedang merancang hidup anda, yang mana jangka hayatnya bukan setahun dua tetapi bertahun-tahun lamanya.

Ok, azam sudah ada dan perancangan sudah ada. Seterusnya? " plan your work dan work your plan " Laksanakan perancangan anda dengan bersungguh-sungguh, berdoa dan bertawakkal lah kepada-Nya. Bukankah Dia telah berkata : ((فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ )) [ Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah. Ali Imran : ayat 159 ]

Teringat sebaris kata yang sangat mencuit hati tapi penuh dengan makna - Tahun baru, azam baru, semangat baru, semua baru...perangai juga yang lama. Maka, sempena Maal Hijrah ini saya ingin mengucapkan selamat berazam, selamat merancang dan selamat melaksanakan perancangan anda. Semoga Allah mengurniakan kejayaan dalam perancangan kalian dan saya juga. Aminn.

Saturday, October 30, 2010

siapa nak hadiah??



Hadiah. Siapa yang tak sukakan hadiah? Tak de rasanya. Hadiah adalah akad tabarru' yang bermakud memberi sesuatu tanpa balasan @ ganjaran @ tukar ganti. Ye la, bila bagi hadiah mana dapat apa2 sebagai tukar ganti - di sini saya tidak menyentuh tentang pahala ye, harap tiada yang salah faham. Lain la akad jual beli, kita memberi duit untuk mendapatkan barang yang kita nak beli. Maka di situ, terdapat tukar ganti atas apa yang kita beli dan dinamakan akad mu'awadoh so, setakat ni jelas eh?

Hadiah = akad tabarru' عقد التبرع ( tanpa tukar ganti )
Jual beli = akad mu'awadoh
عقد المعاوضة ( ada tukar ganti )

Hukum hadiah? Sunat ataupun dalam erti kata lain, sangat digalakkan.

Hikmah memberi hadiah? Antaranya mengeratkan silaturrahim, memupuk kasih sayang antara pemberi dan penerima hadiah, mendapat pahala dan lain2. Demikian serba ringkas tentang hadiah dari segi penjelasan fiqh.

Suka saya menyentuh sedikit sebanyak tentang hakikat hadiah pada pandangan @ amalan masyarakat zaman sekarang. Lazimnya hadiah dikaitkan dengan sesuatu peristiwa, contohnya hari lahir, kenduri kahwin, ulang tahun perkahwinan dan lain2. Hakikatnya, hadiah itu sepatutnya tidak terikat dengan apa2 peristiwa. Nak bagi hadiah? Bagi jela, tak de masalah. Bahkan itu yang lebih baik, tidak perlu menunggu sesuatu peristiwa untuk memberi hadiah.

Oh, sebelum saya terlupa. Ingin saya mengutarakan pendapat saya dalam isu menyambut Hari Ibu , Hari Ayah, Hari Persahabatan (Friendship Day) dan hari2 yang sewaktu dengannya. Saya tidaklah menentang habis-habisan sambutan hari2 tersebut, ada baiknya dan saya tidak nafikan kebaikan itu. Cuma bagi saya, alangkah baiknya kalau tiap2 hari itu Hari Ibu, tiap2 hari kita berbuat baik pada ibu @ mak @ ummi @ apa2 panggilan yang seangkatan dengannya.

Asal sebut pasal hadiah je, mesti terbayang benda yang baru, yang cantik, yang mahal. Nilai hadiah bukan lah terletak pada harga hadiah itummahupun pada rupanya. Nilai hadiah itu diukur pada pemberinya atau lebih tepat pada niat pemberi. Kadang kala sesuatu benda itu kelihatan biasa sahaja, tetapi nilai sentimentalnya tinggi begitu juga sebaliknya sesetengah hadiah kelihatan mewah tapi kurang nilai sentimentalnya.

Sebenarnya, semua orang mampu untuk memberi hadiah. Bagaimana? Jom intai kehidupan seharian kita. Saya mengambil contoh - baju. Buka almari baju anda, dan kira berapa pasang baju yang anda miliki, berapa pasang yang anda betul2 pakai dan berapa pasang yang tersimpan kemas sebagai pemenuh almari. Tahukah anda, terdapat golongan yang memiliki pasangan baju yang terhad. Asyik basuh dan pakai baju yang sama je, macam pakaian seragam pun ada sebab asyik mengulang pakaian yang serupa. Anda ketawa, tapi itulah realiti dunia. Tak kan sama yang mendengar dengan yang merasa.

Jadi, apalah salah jika anda memberi beberapa pasang baju anda kepada kepada yang memerlukan, kepada kawan, kepada saudara mara dan lain2. Nah, siapa kata hadiah mesti memberi benda yang baru. Itu baru satu contoh, perkara yang sama boleh dipratikkan pada banyak benda lagi - kasut, buku dan lain2.

Mungkin terasa janggal bunyinya, tetapi benda yang pelik, yang lain daripada yang lain tidak semestinya salah. kan?? Juga harus dibasmi sikap " biar papa asal bergaya " dalam diri kita. Berpijak lah bumi yang nyata, mengapa susahkan diri semata-mata nak bergaya. Dalam Islam, yang penting itu kemas & bersih. Bukan melarang untuk bergaya, tetapi mengikut kemampuan lah.

Masih lagi dalam perbincangan hadiah, hadiah ada kaitan dengan dakwah tak? Sedia maklum bahawa, hadiah itu kadang2 digunakan sebagai satu bentuk galakan @ dorongan kepada sesuatu. Sedangkan Allah memberi "hadiah" kepada kita jika kita melakukan perkara2 yang baik yang selari dengan tuntutan-Nya, maka kita sebagai pendakwah haruslah berusaha memberi hadiah kepada orang yang hendak didakwah sebagai galakan kepadanya untuk melakukan kebaikan. Agak2 la, kalau pendakwah2 sekarang praktik kaedah ini, rasa2 ramai tak yang akan mengikut ajaran Islam dengan betul??

Hidup ini indah jika dipenuhi dengan budaya saling memberi dan ketahui lah tangan yang memberi itu lebih daripada tangan yang menerima. - Erti hidup pada memberi -

* cetusan idea daripada kelas ahkam waqaf wa hibah (hukum wakaf dan hadiah) oleh sifu syuesh mahamid. Syukran doc !

Thursday, September 30, 2010

l.a.p.a.r laa...


Syawal semakin menjauh, bagaimana dengan puasa 6 kalian? Diharapkan semua tidak mensia-siakan peluang keemasan untuk merebut kelebihan puasa 6.

Berbalik kepada tajuk, L.A.P.A.R. Apa yang terlintas di fikiran anda? Hanya satu, dan satu sahaja - makanan. Sudah menjadi satu kemestian bahawa kelaparan dikaitkan dengan makanan. Namun masyarakat kita zaman sekarang terlalu mementingkan makanan untuk perut @ fizikal badan. Saya tidak menafikan makanan untuk fizikal badan adalah penting, namun apa yang ingin di-highlight kan di sini adalah keghairahan kita mengisi perut dengan makanan dan jiwa yang hampir mati kelaparan dibiarkan begitu sahaja.

Secara kasarnya badan boleh dibahagikan kepada 3 : minda, jasmani & rohani. Maka, makanan untuk ketiga-tiga bahagian haruslah seimbang supaya badan dapat berfungsi dan memberikan hasil yang optimum.

Makanan minda - Minda adalah akal fikiran. Untuk menjana akal fikiran, perlukan ilmu. Maka makanan untuk minda adalah ilmu pengetahuan. Maka apakah ilmu fadhu ain ( yang wajib dipelajari ) untuk kita? Pertama sekali, sebagai seorang muslim sudah tentu ilmu agama wajib dipelajari. Kedua nya? [ eh, ada lagi ke ilmu fardhu ain selain ilmu agama? ] Kenapa tidak, sebarang bidang yang anda ceburi, itu lah ilmu yang wajib anda pelajari.

Lihat sahaja anak2 muda yang sering membazir masa dengan perkara sia2, hanya tahu bersuka ria bagai dunia dia yang punya. Tidakkah mereka sedar yang mereka itu WAJIB menuntut dan mempelajari ilmu bidang masing2. [ eh, kenapa pulak wajib? ] Hadis Nabi s.a.w ada menyatakan : " menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap muslim ".

Jika hendak mengikut logik akal pon, sudah tentu lah wajib bagi kita menuntut ilmu. Seseorang individu tidak mampu untuk menguasai semua bidang ilmu kerana kudrat kita sebagai manusia ada had dan batasnya. Maka, atas konsep kerjasama dan saling melengkapi wajiblah bagi kita untuk menuntut ilmu bidang yang diceburi masing2. tak gitu??

Makanan rohani - Rohani pula sinonim dengan perkara2 batin @ spiritual. Makanannya adalah amal ibadat kita dengan Sang Pencipta. Kerana kepuasan rohani adalah apabila dapat mencapai ketenangan jiwa. Ketahui lah bahawa ketenangan hati bukan terletak pada kekayaan dan pangkat tetapi dengan mengingati-Nya. Berapa ramai daripada jutawan dunia yang memiliki harta segunung tingginya, mampu membeli apa saja yang diingini tapi hati masih terasa kosong, gelisah dan tidak tentu arah. ya, sekaya-kaya mereka tidak mampu untuk membeli ketenangan jiwa kerana ia adalah anugerah daripada-Nya kepada hamba2 yang sentiasa menyebut dan mengingatinya. Bertepatan dengan firman-Nya : ((
أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ)) [ Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. Ar-rad : ayat 28 ]

Maka apakah akibatnya jika kita tidak memberi makan secara seimbang kepada ketiga-tiga bahagian tersebut? Wujud masyarakat yang tidak seimbang seperti yang ada sekarang. Manusia yang kaya dengan ilmu ( minda ) tapi miskin rohaninya, akan menggunakan ilmu yang dipelajari untuk kejahatan @ kepentingan diri sendiri. Contohnya : menceroboh akaun bank orang lain, memasang kamera litar di bilik penyalinan pakaian dan lain2. Semuanya gara2 ketandusan makanan rohani. Namun kaya dengan rohani tapi tanpa ilmu juga tidak kena. Sampai bila hendak lihat Islam terkebelakang?? Tidakkah kalian sayang pada agama sendiri??

Ingin saya memetik sebuah pepatah : " A journey of a thousand miles begins with a single step " - Lao-tzu. Maka, mulakan langkah pertama ANDA dengan mengamalkan makanan minda dan rohani secukupnya. Tapi jangan hanya langkah setapak sahaja, langkah dan terus melangkah. Dunia akan menyaksikan kami, pemuda2 Islam bangkit dan mara ke hadapan!!

Monday, September 6, 2010

Ramadhan..Syawal..Fasal Awal..


Ramadhan...
Sekelip mata sahaja, Ramadhan kian mengundur diri. Terasa begitu singkat Ramadhan kali ini, masih menghitung samada hari2 yang telah berlalu digunakan dengan sebaiknya ataupun tidak. Namun begitu, Ramadhan kali ini antara yang paling bermakna. Ramadhan terakhir di bumi Jordan, Ramadhan terakhir bersama ahli2 rumah dan kawan2 seperjuangan. Masih berbaki 3 hari untuk bersama Ramadhan sebelum Syawal datang menjelma, namun rata2 kelihatan Ramadhan diabaikan dek teruja menanti ketibaan. Teringat satu post yang pernah dibaca, jangan "syawal"kan Ramadhan.

Syawal...
Di celah2 kesibukan menghantar kepulangan Ramadhan serta menyambut kedatangan Syawal, timbullah isu iklan raya yang mengundang pelbagai kontroversi. Telah ramai yang membincangkan dan membahaskan isu ini dan saya tidak berminat untuk mengupas mengenainya dengan lebih lanjut. Cume ingin melihat sesuatu dari sudut yang berbeza. Ternyata masyarakat sekarang peka dan sensitif terhadap isu2 sebegini, landasan facebook juga digunakan dengan sebaiknya untuk menyalurkan maklumat dengan pantas dan efisyen. Satu perubahan positif perlu dikekalkan dan ditingkatkan prestasinya.

Fasal awal...
Semester baru kelihatan melambai2 dari jauh, seolah2 tidak sabar menanti saat pertemuan. Semoga cuti semester kali ini dapat meniupkan semangat dan azam baru untuk terus menempuh tahun akhir pengajian di sini. Ketibaan pelajar2 baru semestinya menambah seribu satu warna di bumi Mu'tah ini. Akhir kalam, ku pohon doa mak dan ayah keberkatan ilmu yang dipelajari agar tidak menjadi fitnah kepada diri sendiri.

Saturday, August 21, 2010

anda & puasa

Salam Ramadhan, salam imtihan dan salam soifi(musim panas)

Sejak kebelakangan ini, didapati blogspot.com seolah-olah di-banned di jordan memandangkan sudah beberapa hari tidak dapat di-access. Solution? try vtunnel.com. Akhirnya dapat juga nak update blog selepas ditinggalkan gara2 kesibukan menghadapi imtihan nihiae (final exam).

Ingin ku berkongsi kata-kata seorang pensyarah di universiti - Dr. Tolib tentang Ramadhan dan Al-Quran. Katanya Ramadhan dan Al-Quran adalah 2 perkara yang sangat berkait rapat, kerana Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan (Nuzul Al-Quran). Dan sempena Ramadhan ramai juga yang mengambil peluang untuk mengkhatamkan bacaan sebanyak kali yang mungkin, ada yang sekali, ada yang 5 kali, ada yang 10 kali. Anda pula berapa kali? Saya? Masing2 lebih mengetahui. Namun apa yang lebih penting kata Dr. Tolib, adalah tadabbur ayat2 Al-Quran daripada mengkhatam berkali-kali tanpa memahami apa yang dibaca. [ tadabbur = menghayati ] Maka digalakkan untuk membaca Al-Quran berserta terjemahannya, adapun klu mampu untuk membaca tafsirnya adalah lebih baik untuk penghayatan yang lebih mendalam.

Bukan setakat baca dengan menghayati, perlu diingatkan membaca Al-Quran wajib baca dengan tajwid yang betul. Sebab apa? Untuk mengelakkan amal yang asal2nya memberi pahala, tapi dapat dosa sebab salah tajwid. Kenapa sampai begitu sekali? Anda perlu tahu, kesalahan tajwid boleh membawa kepada perubahan makna ayat Al-Quran. Tidakkah menjadi kesalahan besar mengubah makna ayat Al-Quran?? Sebab itulah, belajar ilmu tajwid adalah fardhu ain dalam erti kata lain WAJIB. Bukankah kita membaca ayat Al-Quran sekurang-kurangnya 5 kali sehari ketika solat. Maka kenalah pastikan bacaan kita dalam solat itu betul tajwidnya.

Puasa bulan Ramadhan diturunkan khusus untuk umat Nabi Muhammad s.a.w sebagai tanda kemuliaan nabi dan tanda kebaikan umat nabi. Justeru, kita dimuliakan dengan bulan Ramadhan oleh Allah s.w.t. Persoalannya : Adakah kita sekarang ini setaraf dengan kemuliaan yang dikurniakan-Nya?? Muhasabah lah diri sendiri kerana muhasabah itu munasabah. Setelah bermuhasabah dan mengenal pasti kelemahan dan kekurangan diri kita, yang tinggal hanya usaha untuk BERUBAH!!

Medan terbaik untuk mencetuskan perubahan ke arah kebaikan adalah Bulan Ramadhan, kerana kita hanya perlu bertarung dengan nafsu diri sendiri berbanding bulan2 lain yang terdapatnya tambahan halangan makhluk2 lain. Maka bertepatan dengan penghayatan Al-Quran yang telah disebutkan tadi, kita perlu berubah seiring dengan tuntutan yang terdapat dalam Al-Quran. Laksanakan perintah-Nya dan tinggalkan larangan-Nya. Nak melaksanakan tidak semudah yang dikata, ya saya akui. Namun sejauh mana usaha anda itu yang penting kerana Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang mengubah nasib mereka. Usahalah dan tawakkal yakni berserah serta yakin dengan Allah.

Dr. Tolib mengakhiri kata2nya dengan menekankan aspek akhlak dalam diri seorang Muslim lebih2 lagi mahasiswa Muslim. Jika kita sentiasa menitik beratkan kecantikan dan perhiasan diri, maka akhlak adalah sepenting-penting perhiasan yang perlu difokuskan. Akhlak itu luas, malah akhlak itu kehidupan kita seharian. Akhlak bersama guru, bersama ibu bapa, bersama kawan2, akhlak ketika menghadap Illahi dan lain2.

Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat dan peringatan kepada anda dan juga saya. Bertepatan dengan firman Allah : (( وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَىٰ تَنْفَعُ الْمُؤْمِنِينَ ))yang bermaksud [dan berilah peringatan sesungguhnya peringatan itu bermanfaat untuk orang2 mukmin]

Sunday, July 25, 2010

m.o.t.i.v.a.s.i

Hidup seringkali menerima ujian dan rintangan sebagai tetamu tetapnya, semuanya bertujuan untuk mematangkan dan mendewasakan kita. Maka kita seharusnya sentiasa memandang ujian @ masalah yang dihadapi sebagai satu peluang untuk membaiki kualiti diri. Namun, langit tak sentiasa cerah, diri tak sentiasa positif dan semangat tak sentiasa ada. Oleh itu, ketika tangki semangat sedang kekeringan perlu lah di-refill semula. Ketika itu lah, motivasi diperlukan.

Motivasi itu kadangkala berbentuk dalaman dan kadangkala berbentuk luaran. Yang dikatakan motivasi dalaman @ self-motivation adalah proses memujuk diri sendiri untuk memulihkan semangat yang kian pudar. Orang yang memiliki motivasi dalaman yang kuat selalunya mempunyai sifat positive thinking yang tinggi. Dengan sifatnya itu, dia mampu menggerakkan diri sendiri yang sedang "down" tanpa berharap kepada sokongan orang lain.

Manakala motivasi luaran pula merujuk kepada sebarang unsur luar yang dapat memberi semangat kepada seseorang. Secara normal, seseorang yang kehilangan semangat akan mengadu kepada kawan-kawan terdekat ataupun adik-beradik ataupun mak ayah dengan harapan orang2 tersebut dapat memberi kata2 perangsang untuk melonjakkan semangat. Motivasi luaran juga banyak terdapat dalam bentuk media seperti VCD dan sebagainya.

Pentingkah motivasi sehingga membuatkan kita tercari-cari di saat semangat sedang hambar?? Adat hidup seperti roda, ada naik turunnya. Kita tidak akan berada di atas selamanya, kita tidak akan senang selamanya. Kesusahan akan datang menjenguk untuk bertanya khabar sekali-sekala. Motivasi itu perlu untuk menaikkan semangat yang kekurangan ketika kesusahan bertandang.

Namun kita sebagai orang Islam juga ada pembakar semangat yang tersendiri, kita tidak dicipta tanpa tujuan bahkan tujuan teragung iaitu menyembah yang Maha Esa, menyerah diri kepada-Nya. Satu konsep yang perlu diubah dan di-alter, iaitu apabila menyebut menyembah yang Maha Esa maka satu2-nya perbuatan yang terlintas di fikiran adalah solat. noktah. Ini adalah anggapan yang salah sekali! Sesungguhnya maksud yang dimaksudkan adalah melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

Apakah SURUHAN & LARANGAN tersebut?? Tak perlu diungkap di sini, tak terungkap rasanya. Itu semua ilmu agama asas yang telah lama tersemat dalam jiwa masing2. Namun apa yang ingin ditekan di sini, pada zaman yang serba canggih ini, adalah peranan kita sebagai seorang muslim pada alaf moden ini.

Orang Islam seharusnya kaya, pandai, professional, berjawatan tinggi, berilmu, berprotokol, up-to-date dan lain2. Bunyi seperti mengejar dunia bukan?? The trick is, menjadikan dunia sebagai medan untuk mengejarkan akhirat yang lebih hakiki. Orang Islam perlu kaya supaya dapat menyumbang kepada projek2 membangunkan umat, supaya dapat bersedekah kepada yang faqir miskin. Orang Islam perlu pandai dalam segenap bidang, menguasai bidang IT, kejuruteraan, bidang arkitek, bidang perubatan dan lain2. Orang Islam perlu professional dan up-to-date supaya dipandang oleh bangsa2 dan agama2 lain. Dan bukannya dipijak seperti debu sebagaimana yang kita alami hari ini.

Dengan adanya semua tanggungjawab di atas, maka wajarkah kita terduduk muram tanpa semangat sedangkan umat Islam sangat memerlukan kita. Bersemangatlah wahai ranger2 Islam!!!! Masih terlalu banyak untuk dicapai.
Jadilah manusia cemerlang dan bukannya sampah masyarakat. Kata mahu Islam maju tapi malas baca buku!!

Saling mengingatkan itu tanda kasih dan sayang supaya sama2 berubah menjadi lebih berkualiti. Peringatan untuk anda dan diri ini jua. Ayuh berjuang demi maruah ISLAM !!!

Sunday, July 11, 2010

aku yang salah

sahabatku,
maafkan aku kerana tidak menegurmu membuat kesilapan
maafkan aku kerana terus membiarkanmu dalam kealpaan
maafkan aku kerana mengendahkan usahamu melakukan kebaikan

mungkin aku terlalu leka,
mungkin aku terlalu alpa,
sehingga terlupa tanggungjawab sahabat yang sebenarnya

akanku tebus jua
segala kesalahan yang ada
agar kita berubah bersama-sama
kerana aku mahu kita berukhuwah hingga ke syurga

sekali lagi,
maafkan aku kerana telah lalai dan melalaikanmu

Friday, July 2, 2010

finish or don't start

There's no escape from making choices in life, so once you make one stick to it. well i've made mine and i hope to stay with that choice. Writing is no new thing to me but to write constantly is a different story. To write more is to read more,may this be a motivation for myself. ;)