Saturday, March 12, 2011

Undang-undang Jenayah Islam Lebih Relevan dan Efektif?


Sudah menjadi adat bahawa sesuatu yang baru pasti akan mengalami penerimaan yang sukar pada permulaannya, kemudian setelah masa berlalu, ia mula diterima oleh masyarakat dan dianggap sebagai kebiasaan. Jika ia merupakan perkara yang baik, maka masyarakat akan dapat menikmati kesan positifnya; begitu juga sebaliknya jika sesuatu yang buruk menjadi kebiasaan, masyarakat jua terpaksa menanggung impak negatifnya. Mutakhir ini, masyarakat Malaysia perit menanggung padah budaya bercinta tanpa batasan khususnya golongan remaja. Masakan tidak, ekoran kebiasaan budaya tersebut, statistik anak luar nikah telah mencecah lebih 70 ribu dalam tempoh 4 tahun sahaja berdasarkan laporan rasmi oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi tahun 2000 sehingga 2008.

Ketika masyarakat terus buntu memikirkan penyelesaian kepada fenomena ngeri tersebut, Islam sudah lama menyediakan penawarnya. Islam mempunyai undang-undang jenayahnya yang tersendiri, yang mampu menjadi penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh masyarakat sekarang. Secara amnya undang-undang jenayah Islam terbahagi kepada tiga cabang utama iaitu: hudud, qisas dan ta’zir. Hudud adalah hukuman yang telah ditetapkan bagi jenayah-jenayah tertentu yang disebut dalam Al-Quran. Hudud dalam Islam melibatkan tujuh jenis kesalahan: zina, qazaf (tuduhan zina terhadap orang lain), minum arak, mencuri, harabah (pengganas), murtad dan bughah (menentang pemimpin yang adil).

Qisas pula hukuman ke atas penjenayah setimpal dengan perbuatannya, oleh itu bunuh dibalas bunuh dan cedera dibalas cedera dan seterusnya. Ta’zir pula hukuman selain hudud dan qisas yang mana ia ditentukan oleh pemerintah ataupun hakim yang bersesuaian dan setimpal dengan jenayah yang dilakukan, contohnya hukuman penjara.

Jenayah zina dalam undang-undang Islam berbeza dengan jenayah zina dalam undang-undang sivil, di mana Islam menganggap setiap persetubuhan haram itu zina dan dijatuhkan hukuman ke atas orang yang melakukannya sama ada sudah berkahwin ataupun belum. Manakala undang-undang sivil tidak menganggap setiap persetubuhan haram itu zina dan kebiasaannya hukuman khas dikenakan atas mereka yang telah berkahwin. Selain daripada itu dianggap pencabulan kehormatan. Apabila perbuatan itu dilakukan secara rela, maka tiada hukuman yang dikenakan ke atasnya menurut undang-undang sivil.

Hukuman bagi penzina dalam Islam terbahagi kepada dua iaitu, hukum sebat dan rejam. Hukuman sebat dikenakan ke atas penzina yang belum berkahwin manakala hukuman rejam dikenakan ke atas penzina yang telah berkahwin dengan syarat telah memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat tertentu yang telah ditetapkan oleh syarak.

Bagi hukuman sebat, Islam menetapkan sebanyak 100 sebatan untuk kesalahan zina bertepatan dengan firman Allah s.w.t:

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ

Maksudnya : Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat. (Surah An-Nur : 2)

Hukuman sebat dalam Islam tidaklah kejam seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, kerana hukuman sebat dalam Islam menggunakan rotan yang sederhana panjang dan tidak terlalu tebal, dan dikenakan sebatan pada seluruh tubuh badan pesalah tetapi dilarang memukul bahagian kepala, muka, dada dan bahagian sulit. Dianjurkan untuk meratakan pukulan ke seluruh badan dan bukannya setempat sahaja. Islam juga mengenakan sebatan sederhana kerana tujuan sebatan adalah untuk mendidik dan bukannya menyeksa umatnya.

Pesalah lelaki disebat dalam keadaan berdiri manakala pesalah perempuan disebat dalam keadaaan berduduk. Pesalah tidak akan dipukul dalam keadaannya yang tidak stabil iaitu ketika kurang sihat, dan pesalah perempuan yang mengandung ditangguh hukumannya sehingga dia melahirkan anak, sembuh dari sakit beranak, suci dari darah nifas dan tenaganya sudah pulih. Pelaksanaan hukum sebat tidak boleh diadakan dalam keadaan cuaca terlalu panas ataupun terlalu sejuk kerana ia boleh menyebabkan kemudaratan kepada pesalah. Dan pesalah hendaklah disebat di hadapan orang-orang mukmin dan bukannya di tempat yang sunyi dan tertutup.

Hukuman sebat Islam bukan sahaja lebih praktikal dari sudut logik, tetapi juga terbukti secara saintifik tentang keberkesanannya. Apabila melakukan zina, potensi berlaku jangkitan virus AIDS (Acquired Immunologic Defiency Syndrome) adalah tinggi. Apabila virus AIDS menyerang manusia, ia bertindak memusnahkan T4 Limfosit dalam badan. T4 Limfosit merupakan sel yang berperanan untuk menghasilkan sel darah putih, iaitu sel yang paling penting dalam sistem pertahanan badan. Apabila T4 Limfosit dimusnahkan, sistem pertahanan akan lumpuh seterusnya penzina akan menghidap HIV AIDS. Kajian membuktikan pukulan sebat pada bahagian tulang belakang secara berulang kali dapat merangsang penghasilan T4 Limfosit serta menggalakkan sum-sum tulang mengeluarkan antibodi baru sekaligus memberi peluang untuk sembuh dari virus AIDS.

Agama Islam adalah agama yang sempurna dan menyeluruh serta agama rahmat yang menjaga kebaikan individu serta masyarakat. Penyelesaian bagi setiap masalah yang dilanda masyarakat sekarang terdapat dalam ajaran Islam, masyarakat hanya perlu mencari dan mengamalkannya. Walaupun penyelesaian terbaik sudah termaktub dalam agama Islam, namun sedihnya masyarakat kita masih kurang pendedahan tentang undang-undang jenayah Islam yang sering mengakibatkan masyarakat memandang serong terhadapnya.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita sebagai mahasiswa lepasan timur tengah khususnya dalam bidang pengajian syariah untuk menerangkan dan menjelaskan hukum-hukum sedemikian kepada masyarakat agar kita dapat mengubah pemikiran mereka yang salah serta memberi gambaran yang lebih jelas tentang kerelevenan dan keadilan undang-undang jenayah Islam. Secara tidak langsung, langkah ini merupakan langkah asas untuk memartabatkan undang-undang Islam di negara pada masa akan datang.