Thursday, January 19, 2012

Al-kisah jam

Teringat zaman sekolah dahulu, semasa saya tingkatan 2, waktu itu waktu rehat. Maka berpusu-pusu lah gadis-gadis sekolah ku menuju ke kantin. Setelah beratur membeli makanan dan berebut untuk mendapatkan tempat makan, kami pon menjamu selera. Setelah itu, kami pun melepak di tepi kolam menghabiskan waktu rehat yang berbaki.

Memandangkan sekolah saya tidak mempunyai loceng, maka semuanya bergantung kepada jam tangan untuk mengetahui sesi pertukaran subjek mahupun waktu rehat. Dan ketika itu saya memang tidak memakai jam tangan,maka setiap 5 minit saya akan bertanya kepada kawan saya, “sekarang pukul berapa”. Selama ini perkara ini saya anggap biasa sehingga lah pada hari itu, seorang kawan saya menegur. “ hang tak pakai jam tangan? Orang yang tak pakai jam tangan orang yang tak berwawasan kerana tak peka dengan masa. “

Sentap. Maka terasa lah saya seketika itu, tapi setelah difikir-fikirkan, barangkali betul jugak katanya. Saya tidak ingat bila saya istiqamah memakai jam tetapi hingga lah hari ni, saya memang sentiasa mengenakan jam tangan ketika keluar rumah.

Tidak peka dengan masa, itu antara penyakit orang kita pada hari ini. Kelas bermula jam 8 pagi, 8.15 baru sampai. Mesyuarat akan bermula pada 3 petang, 3.30 petang baru penuh kehadiran. Begitu mudah kita memandang kecil hal menepati masa. Oh lupa, contoh yang paling sinonim, asar jam 4.30 petang, 4.20 petang baru berebut-rebut ambil wudhu solat zohor.

Itu belum campur orang yang melalukan kerja secara lemah gemalai lenggang kangkung. Pergi ke pejabat pos, bank, pejabat pendaftar dan lain-lain, sesetengah daripada mereka menyiapkan kerja dengan kadar yang begitu lambat. Masa terbuang begitu sahaja dengan menunggu, menunggu dan menunggu.

Jika dikumpulkan masa yang terbuang itu hari demi hari, minggu demi minggu, maka kita akan terkejut dengan hasil jumlah nya. Pernah terfikir kenapa Jepun merupakan negara yang sangat maju? Pernah anda terfikir kemajuan negara matahari terbit itu mungkin berkait dengan sikap menepati masa yang mereka amalkan?

Saya merasakan ia amat berkait, orang-orang yang berjaya semestinya orang yang menepati masa. Pelajar yang cemerlang menepati waktu hadir ke kuliah, menepati masa menghantar assignment dan masa ulangkaji. Pekerja yang berjaya menepati dead line kerjanya, bos yang baik adalah menepati waktu membayar gaji pekerja.

Jika kita masih lagi lemah bab menepati masa, maka cuba lah baiki dari sekarang, kerana apa? Jika tidak, kita akan terbiasa dengan sikap melewati masa dan melengahkan kerja, bimbang kita akan terlepas peluang-peluang kejayaan dalam hidup berbanding orang yang menepati masa.

Latihan apakah yang boleh dipraktikkan untuk melatih diri menepati masa? Solat. Solat lah di awal waktu dan berdoa supaya kita dapat istiqamah untuk solat di awal waktu. Kenapa? Orang yang menepati waktu “temu janji” dengan tuhannya pasti mampu berbuat demikian sesame manusia. Manakala orang yang dengan tuhan pon tidak menepati masa “temu janji”, manusia apatah lagi?

Wednesday, January 4, 2012

Akhlak


Sejak 2,3 hari yang lepas, modem internet di rumah mogok untuk berehat, dah semakin kurang stamina, maklum lah sudah setahun bertambah usianya. Maka baru sahaja beberapa hari tidak melayari internet, terasa seperti ketinggalan 5 tahun ke belakang. Pelbagai berita dan cerita yang panas dan sensari sudah menjadi buah mulut orang.

Sepantas mana sesuatu berita itu tersebar, sepantas itu jugak lah dosa dan pahala mengumpul saham di bahu kiri dan kanan masing-masing. Gara-gara apa? Gara-gara menyebarkan berita yang tidak tahu asal usul, pangkal hujung dan kebenarannya. Juga gara-gara mulut dan tangan yang pecut untuk menulis dan mengkritik tidak tentu hala, menghamburkan kata-kata kesat tanpa berfikir.

Ke mana agaknya akhlak kita ya? Akhlak kini hanya tinggal dalam buku teks pendidikan sivik dan juga dan iklan di kaca tv flat screen.

Mak saya sering merungut tentang drama dan cerita yang ditayangkan di tv, ada sahaja adegan jerit menjerit, anak derhaka pada ibu bapa, isteri nusyuz pada suami, kawan makan kawan, remaja memuja artis dan sebagainya. Kata mak saya, zaman dahulu media penerbitan khususnya lebih sopan kerana tapisannya lebih ketat. Daripada skrip dan jalan cerita hingga lah penampilan para pelakon dijaga.

Pengaruh media kepada masyarakat memang ketara dan tidak perlu disangkalkan lagi. Lihat sahaja kelakuan anak-anak kecil yang meniru perwatakan kartun kegemaran mereka, manakala golongan muda pula sibuk memuja artis kesayangan mereka.

Sedih hati melihat masyarakat yang makin terhakis akhlak dan nilai murni mereka akibat penangan asid kemodenan. Perasan kah anda, sebenarnya alam ini berkait rapat dengan akhlak kita sebenarnya. Lihat sahaja berita tempatan, rata-rata banjir sana sini. Berita antarabangsa juga menyaksikan kejadian gempa bumi, rebut angin, tsunami, tanah runtuh dan sebagainya. Semua itu melambangkan kualiti akhlak kita pada zaman sekarang.

Bukan sahaja alam, tetapi keadaan sekeliling turut mencerminkan akhlak dan peribadi kita sebenarnya. Adakah bilik kita kemas atau bersepah? Bagaimana pula dengan keadaan rumah kita? Ada spesies manusia yang sangat mementingkan kebersihan biliknya @ rumahnya, tetapi di luar rumah, membuang sampah merata-rata. Baginya, yang penting bilik aku @ rumah aku bersih. Di luar? Itu bukan hal aku. Bukankah itu menunujukkan sifat pentingkan diri sendiri.

Maka, ketika melihat ke dalam cermin tiap2 hari untuk menatap muka yang disangka lawa, tatap la juga akhlak kita yang ada dalam hati. Adakah akhlak kita dijaga rapi persis wajah dan penampilan kita?

Ketahui la akhlak & khulu’ (kejadian @ rupa @ penampilan) adalah dua benda yang beriringan, khulu’ adalah di luar manakala akhlak itu dari dalam. Manusia sering memandang rupa tetapi Allah lebih mementingkan akhlak & taqwa yang berada di dalam kita. Kerana apa? Kerana bukan semua orang memiliki rupa yang cantik, tidak semua orang mampu berbelanja untuk mendapatkan penampilan yang menawan, tetapi akhlak dan taqwa itu mampu dimiliki oleh mana-mana insan yang berusaha mendapatkannya.

Bukan kah Allah seadil-adil Hakim? Allahuakbar.