Tuesday, December 7, 2010

episod baru


Kalendar hijri menunjukkan tarikh 1 Muharram 1432 H, maka berlalu lah setahun dari episod hidup kita dan bermula lah episod baru. Rata-rata status di Facebook mengucapkan Salam Maal Hijrah, salam kembali kepada kalian. Dengan itu, tidak kurang juga yang bersemangat menanam azam baru berbekalkan semangat baru untuk menempuh tahun baru ini. Tahniah saya ucapkan kepada kalian yang masih mengingati kalendar Islam, yang masih menyayangi peristiwa Islam.

Namun, di sebalik keriangan menyambut tahun baru dan keterujaan menyenaraikan azam baru. Saya lebih selesa untuk mengimbau kembali episod-episod hidup yang telah berlalu. Tahun lepas, dua tahun lepas, 5 tahun lepas dan seterusnya. Betapa masa dirasakan begitu pantas mengalir sama ada kita sedar ataupun tidak. Seperti baru kelmarin menjejakkan kaki ke bumi anbiya ini, sekarang sudah berada di semester kedua akhir, dengan masa berbaki setengah tahun untuk terus menikmati hidup di bumi barakah ini.Subhanallah ~

Cuba berfikir sejenak, lihat kembali azam kita pada tahun-tahun yang lepas. Sudahkah kita berjaya melaksanakannya? ataupun hanya kekal tinta pada kertas sahaja? ataupun sudah dicampak entah ke mana, lalu kita pun lupa...Ada baiknya kita cuba tunaikan azam lama yang tertunggak dahulu, sebelum sibuk membuat azam baru.

Seterusnya, azam yang tersenarai itu mesti lah disusuli dengan perancangan yang rapi untuk mencapainya. Apalah gunanya jika kita mengetahui destinasi tetapi tidak tahu jalan ke sana. Sudah tentu kita akan memakan masa yang lebih dan tenaga yang extra untuk ke destinasi, barangkali juga sesat !

Percaya atau tidak kalian, " plan well is work half-done " . Dengan adanya perancangan yang rapi seolah-olah kerja anda telah siap separuh, maka yang tinggal hanya lah lagi separuh untuk dilaksanakan. Ini menunjukkan betapa pentingnya perancangan dalam menentukan kejayaan sesuatu perkara. Bagaimana untuk merancang? Apabila kita merancang kehidupan kita untuk masa setahun, 5 tahun dan sebagainya, proses merancang memakan masa yang lama. Jadi jangan terburu-buru, take your time. Kerana anda sedang merancang hidup anda, yang mana jangka hayatnya bukan setahun dua tetapi bertahun-tahun lamanya.

Ok, azam sudah ada dan perancangan sudah ada. Seterusnya? " plan your work dan work your plan " Laksanakan perancangan anda dengan bersungguh-sungguh, berdoa dan bertawakkal lah kepada-Nya. Bukankah Dia telah berkata : ((فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ )) [ Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah. Ali Imran : ayat 159 ]

Teringat sebaris kata yang sangat mencuit hati tapi penuh dengan makna - Tahun baru, azam baru, semangat baru, semua baru...perangai juga yang lama. Maka, sempena Maal Hijrah ini saya ingin mengucapkan selamat berazam, selamat merancang dan selamat melaksanakan perancangan anda. Semoga Allah mengurniakan kejayaan dalam perancangan kalian dan saya juga. Aminn.