Wednesday, February 23, 2011

Hari Ini Mesti Lebih baik Dari Semalam



Dalam mengharungi kehidupan dari sehari ke sehari, memang akan terdapat perubahan yang berlaku di sekeliling kita. Lihat sahaja jalan raya yang kita gunakan, bermula dengan dua lorong kemudian empat lorong dan kemudian terbinanya jejambat. Begitu juga dengan teknologi, semakin hari semakin canggih, dengan adanya barang elektronik yang semakin kecil saiznya dan semakin banyak fungsinya. Maka seharusnya dan selayaknya hidup kita dan pencapaian kita hari ini mesti lebih baik dari semalam.

Suka saya memetik kata-kata yang acap kali kita dengar : “Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam dan celaka lah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam" . Sekilas pandang mungkin belum mampu dihayati dengan baik, tetapi jika kita aplikasikan dalam sesuatu benda yang berbentuk material maka mesej yang hendak disampaikan akan jelas kelihatan. Bayangkan seorang peniaga yang mendapat pulangan lebih banyak dari modal yang dikeluarkan, maka dia dikatakan beruntung, manakala jika pulangannya sama banyak dengan modal diibaratkan rugi dan apabila pulangannya kurang dari modal maka celaka lah dia.

Jadi bagaimana hendak menjadikan hari ini lebih dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini? Pertamanya, introspeksi iaitu proses penilaian diri ataupun muhasabah. Setiap hari pastikan kita menilai semula tindakan kita pada penghujung hari tersebut, kenal pasti di mana kesilapan dan kekurangan kita kemudian betulkannya dan pastikan kita tidak mengulanginya. Orang yang bijak adalah mereka yang belajar dari kesilapan sendiri namun orang yang lebih bijak adalah mereka yang belajar dari kesilapan orang lain. Proses penilaian memerlukan skill pemerhatian yang tinggi,maka kita perlu sentiasa peka dan cakna dengan tindakan kita dan orang lain.

Setelah kita kenal pasti dan maklum tentang kesalahan kita, maka perlu kepada transformasi dan perubahan. Yang salah dibetulkan, yang kurang dicukupkan, yang bengkok diluruskan. Perubahan yang berkualiti dan efektif adalah perubahan secara berperingkat dan berterusan. Tidak perlu tergesa-gesa melakukan perubahan yang besar dan ketara dalam masa sehari, tetapi ambil lah masa yang secukupnya untuk melakukan perubahan. Perubahan juga perlu dilakukan mengikut kemampuan, biar sedikit tetapi istiqamah kerana yang dikejar adalah kualiti dan bukannya kuantiti.

Perubahan juga tidak semestinya berlaku secara total, untuk memudahkan perubahan spesifikkan dan kecilkan skop anda. Sebagai contoh perubahan dalam ibadat, berubah dari melengah-lengahkan waktu solat kepada solat di awal waktu; dalam pelajaran pula, daripada belajar saat-saat akhir peperiksaan kepada belajar secara berkala sepanjang semester dan begitu juga perkara-perkara yang lain. Sedangkan Al-Quran diturunkan secara berperingkat dan beransur-ansur untuk memudahkan penerimaanya, lihat sahaja betapa indah dan halus penyampaian Tuhan kepada manusiSeterusnya perubahan perlu kepada perancangan supaya dapat direalisasikan kerana perancangan yang baik merupakan asas utama kepada kejayaan. Cukup sahaja dengan merancang kehidupan anda setiap hari, maka setiap minggu anda akan terancang, kemudian setiap bulan seterusnya sepanjang hayat anda akan terancang. Tetapkan matlamat yang hendak dicapai pada permulaan hari dan pastikan ia tercapai di penghujung hari, juga pastikan matlamat anda realistik dan tidak terlalu sukar untuk mencapainya.

Apabila sudah ada perancangan, langkah yang berikutnya adalah untuk melaksanakannya dengan penuh disiplin. Disiplin adalah kebolehan untuk mengawal diri supaya mematuhi sesuatu perkara dan dalam kes ini mematuhi perancangan yang telah dibuat. Kajian menunjukkan orang yang berdisiplin tinggi mempunyai potensi yang tinggi untuk berjaya dalam apa jua yang dilakukannya.Disiplin adalah sesuatu yang perlu dipupuk serta disemai dan bukannya didapati dalam sekelip mata, kerana itu kita semua secara amnya telah diajar untuk berdisiplin sedari bangku sekolah rendah dan secara tidak langsung telah mempengaruhi pembentukan karakter kita pada hari ini.

Dan disebalik semua itu, yang paling penting adalah kemahuan dan keinginan diri untuk mencetuskan muhasabah dan perubahan supaya hari ini lebih baik dari semalam kerana kemahuan ibarat enjin yang menggerakkan seluruh anggota tubuh badan. Jika sesuatu itu dilakukan dalam keadaan terpaksa, saksikan sahaja hasilnya yang tidak seberapa bagaikan melepas batuk di tangga.

Justeru itu, kita sebagai umat Islam perlu menerapkan konsep ini dalam diri kita, pastikan hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini. Jadikannya sebagai cabaran kepada diri sendiri, dan sahut lah ia dengan berani. Kita sebagai kaum adam yang diberi kemuliaan melebihi makhluk lain, jika tidak berusaha untuk melakukan penambahbaikan dari sehari ke sehari maka tiada beza kita dengan mesin buatan manusia yang kaku tidak bernyawa juga tiada jurang antara haiwan yang hidupnya sentiasa mengulangi rutin yang sama tanpa sebarang kemajuan.

Penerapan dan pengamalan konsep ini dalam kehidupan seharian dapat memberi impak dan kesan positif yang amat baik. Seseorang itu akan menjadi lebih bermotivasi dan terurus dalam menjalani kehidupan seharian. Dengan adanya matmalat yang jelas untuk dicapai, pelaksanaan aktiviti seharian lebih produktif dan berwawasan bahkan dapat meningkatkan tahap keyakinan diri. Pengurusan masa juga akan menjadi lebih efektif sekaligus dapat mengelakkan timbul rasa bosan atau isu membazir masa apabila setiap hari terdapat tugasan yang perlu disiapkan.

Kesimpulannya, kita tidak harus cepat berputus asa kerana jika kita gagal hari ini, hari esok sentiasa ada untuk kita menebus kembali kegagalan hari ini, peluang sentiasa terbuka untuk kita membaiki diri pada hari esok. Tetapi adanya esok bukan untuk kita menangguh kerja dan menangguh taubat. Tiada alasan untuk kita tidak berusaha membetulkan serta memajukan diri sendiri, kerana jika orang lain boleh maju dan ke hadapan mengapa tidak kita? Sedangkan tuhan memberikan 24 jam yang sama kepada semua manusia. Tepuk dada dan tanya iman anda, jawapan apa yang hendak anda sediakan apabila disoal kelak.

Akhir sekali, saya sertakan sedikit lirik lagu yang sangat ringkas tetapi mengandungi makna yang penuh tersirat. Selamat menghayati.

Umat Islam harus cemerlang

Hari ini mesti lebih baik dari semalam

Jangan buang masa

Siapa kata kita tidak boleh

Kita punya Allah Maha Kuasa

Kita punya kuasa tenaga

Doa sebagai senjata

Umat Islam sentiasa boleh

Umat Islam SENTIASA BOLEH!!