Sunday, June 12, 2011

Alat dan matlamat


Dalam segala apa yang kita lakukan, sudah tentu kita telah menetapkan sesuatu matlamat baginya. Dan sudah tentu kita akan menggunakan sesuatu cara atau alat tertentu untuk mencapai matlamat tersebut.

Jika lapar maka kita akan makan untuk mengenyangkan perut, kenyang sebagai matlamat dan makan sebagai alat. Jika badan letih maka kita untuk merehatkan badan kita akan tidur, di sini tidur menjadi alat untuk mencapai matlamat supaya badan dapat rehat.

Tapi berapa ramai dalam kalangan kita yang sering tertukar antara alat dan matlamat? Suami isteri yang sibuk berkerjaya untuk membahagiakan keluarga tetapi dalam masa yang sama tidak mencurahkan perhatian dan kasih sayang kepada keluarga.

Bukankah mengejar kemewahan itu alat untuk mencapai kebahagiaan keluarga, tetapi mengapa seolah-olah ia lebih penting daripada memberi perhatian kepada anak-anak serta suami / isteri sendiri? Ini terbukti dengan kadar statistik penceraian di Malaysia khususnya yang dikeluarkan oleh JAKIM pada tahun 2009 dengan purata satu kes cerai setiap 15 minit !

Keadaan yang sama turut diaplikasikan kepada pelajar sekolah mahupun mahasiswa universiti, bagaimana? Tujuan kita belajar adalah untuk menuntut ilmu dan salah satu kayu ukur tahap kelimuan seseorang pelajar adalah melalui peperiksaan.

Maka berapa ramai pula dari kalangan pelajar kita yang terlampau obses atau taksub dengan sistem peperiksaan sehingga sanggup melanggar adab-adab dan batas seorang penuntut ilmu dengan meniru di dalam peperiksaan. Seolah-olah mereka tidak memahami tujuan asal mereka ditempatkan di institusi pengajian.

Jangan lupa, kita mungkin juga tergolong dalam golongan tersebut, tidak percaya? Apa jua yang sedang kita lakukan sekarang, sama ada belajar atau berkerja semuanya adalah untuk mencapai kesenangan hidup di dunia.

Maka hanya segelintir dari hamba Allah yang betul-betul menjadikan dunia sebagai alat untuk meraih keseronokan dan kemenangan yang besar di akhirat. Berapa ramai daripada kita yang telah menjadikan dunia sebagai matlamat hidup? Lupakah kita?

[وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَعِبٌ وَلَهْوٌ ۖ وَلَلدَّارُ الْآخِرَةُ خَيْرٌ لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ ۗ أَفَلَا تَعْقِلُونَ ]

Maksudnya: Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? (Al-Anaam: 32)

Mungkin kita perlu berhenti sebentar dan fikir sejenak, dan cari semula apakah matlamat yang sebenarnya yang ingin kita capai supaya kita tidak terus hanyut dalam angan-angan sendiri tanpa kita sedari.


3 comments:

  1. kakakmu:emhhh....baguih2 post nie...coz skrg nie tgh demam kura2 di musim exam-nawaitu (^-^)

    ReplyDelete
  2. nice post... like..

    ReplyDelete
  3. singgah sini utk pertama kali. hehe.

    ReplyDelete