Thursday, January 19, 2012

Al-kisah jam

Teringat zaman sekolah dahulu, semasa saya tingkatan 2, waktu itu waktu rehat. Maka berpusu-pusu lah gadis-gadis sekolah ku menuju ke kantin. Setelah beratur membeli makanan dan berebut untuk mendapatkan tempat makan, kami pon menjamu selera. Setelah itu, kami pun melepak di tepi kolam menghabiskan waktu rehat yang berbaki.

Memandangkan sekolah saya tidak mempunyai loceng, maka semuanya bergantung kepada jam tangan untuk mengetahui sesi pertukaran subjek mahupun waktu rehat. Dan ketika itu saya memang tidak memakai jam tangan,maka setiap 5 minit saya akan bertanya kepada kawan saya, “sekarang pukul berapa”. Selama ini perkara ini saya anggap biasa sehingga lah pada hari itu, seorang kawan saya menegur. “ hang tak pakai jam tangan? Orang yang tak pakai jam tangan orang yang tak berwawasan kerana tak peka dengan masa. “

Sentap. Maka terasa lah saya seketika itu, tapi setelah difikir-fikirkan, barangkali betul jugak katanya. Saya tidak ingat bila saya istiqamah memakai jam tetapi hingga lah hari ni, saya memang sentiasa mengenakan jam tangan ketika keluar rumah.

Tidak peka dengan masa, itu antara penyakit orang kita pada hari ini. Kelas bermula jam 8 pagi, 8.15 baru sampai. Mesyuarat akan bermula pada 3 petang, 3.30 petang baru penuh kehadiran. Begitu mudah kita memandang kecil hal menepati masa. Oh lupa, contoh yang paling sinonim, asar jam 4.30 petang, 4.20 petang baru berebut-rebut ambil wudhu solat zohor.

Itu belum campur orang yang melalukan kerja secara lemah gemalai lenggang kangkung. Pergi ke pejabat pos, bank, pejabat pendaftar dan lain-lain, sesetengah daripada mereka menyiapkan kerja dengan kadar yang begitu lambat. Masa terbuang begitu sahaja dengan menunggu, menunggu dan menunggu.

Jika dikumpulkan masa yang terbuang itu hari demi hari, minggu demi minggu, maka kita akan terkejut dengan hasil jumlah nya. Pernah terfikir kenapa Jepun merupakan negara yang sangat maju? Pernah anda terfikir kemajuan negara matahari terbit itu mungkin berkait dengan sikap menepati masa yang mereka amalkan?

Saya merasakan ia amat berkait, orang-orang yang berjaya semestinya orang yang menepati masa. Pelajar yang cemerlang menepati waktu hadir ke kuliah, menepati masa menghantar assignment dan masa ulangkaji. Pekerja yang berjaya menepati dead line kerjanya, bos yang baik adalah menepati waktu membayar gaji pekerja.

Jika kita masih lagi lemah bab menepati masa, maka cuba lah baiki dari sekarang, kerana apa? Jika tidak, kita akan terbiasa dengan sikap melewati masa dan melengahkan kerja, bimbang kita akan terlepas peluang-peluang kejayaan dalam hidup berbanding orang yang menepati masa.

Latihan apakah yang boleh dipraktikkan untuk melatih diri menepati masa? Solat. Solat lah di awal waktu dan berdoa supaya kita dapat istiqamah untuk solat di awal waktu. Kenapa? Orang yang menepati waktu “temu janji” dengan tuhannya pasti mampu berbuat demikian sesame manusia. Manakala orang yang dengan tuhan pon tidak menepati masa “temu janji”, manusia apatah lagi?

1 comment: